WALIMATUL URUS

ANTARA NASIONALISME DAN BAHAYANYA

| Monday, February 26, 2007
———————————————————————

MUQADDIMAH

Semenjak kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 umat Islam di seluruh tanah air Muslimin telah melihat berlakunya perubahan mendadak di dalam asas penyatuan Muslimin. Penyatuan Muslimin yang bertolak daripada aqidah yang satu yang melampaui segala batas-batas keturunan, warna kulit dan kedudukan telah ditinggalkan oleh umat Islam untuk digantikan oleh kesatuan yang berasaskan fahaman kebangsaan atau nasionalisme barat. Ia adalah satu penyelewengan bidaah yang wajib ditolak dan dibetulkan kembali oleh setiap Muslimin di zaman ini. Kejahilan para ulama mengenai kesesatan fahaman kebangsaan telah mendorong umat Islam dari segala lapisan untuk menerima dan beramal dengan kesesatan ini tanpa mereka merasa takut kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan balasan azabNya yang pedih.

PENGERTIAN NASIONALISME

Di dalam menerangkan pengertian nasionalisme, Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia America menyebut:

Loyalty and devotion to the state such that national interest are placed above individual or global interest. It originates from the assumption that nations are the primary focus of political allegiance. In the religious context, for example: the focus of allegiance would be a supranational group such as Christendom or Christian community. Modern phenomena.

Takrif ini menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.

Dengan kata lain nasionalisme adalah merupakan ikatan yang berbentuk sekular yang menggantikan semua bentuk ikatan yang lain khususnya ikatan keagamaan di kalangan manusia terutamanya di barat yang berasaskan ajaran gereja Kristian. Ia adalah merupakan satu daripada panduan cara hidup sekular yang dikemukakan di zaman ini sebagai menggantikan panduan daripada sumber agama. Pentakrifan ini menjelaskan bahawa nasionalisme itu pada hakikatnya adalah fahaman penyatuan manusia yang berasaskan mendahulukan kepentingan bangsa dan negara di atas segala kepentingan yang lain.

MENOLAK SYUBAHAT MENGENAI HAKIKAT ASSABIYYAH

Bagi melengkapkan perbincangan risalah ini dan bagi menambahkan faedahnya maka perlulah diberikan penjelasan mengenai hakikat assabiyyah dan hukumnya di dalam Islam. Keperluan ini timbul sebagai menolak syubahat yang telah dikemukakan oleh para pendokong fahaman nasionalisme sekular di zaman ini terhadap pengertian assabiyyah. Mereka pertamanya telah menafikan nasionalisme sebagai tergolong di dalam assabiyyah yang dimaksudkan di dalam keterangan hadith. Keduanya mereka telah menyamakan nasionalisme yang dianuti oleh kerajaan yang memerintah sebagai fahaman nasionalisme yang pernah diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith soheh yang bermaksud:

"Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah assabiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar assabiyyah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar assabiyyah." (Riwayat Muslim)

Oleh itu perlulah difahami bahawa kekeliruan ini adalah bertolak daripada tumpuan yang berlebihan kepada pengertian assabiyyah dari sudut bahasa sebaliknya melupakan pengertiannya dari sudut istilah menurut keterangan Rasulullah s.a.w. sendiri. Perlulah difahami bahawa mengutamakan pengertian lughawi dengan mengabaikan pemahamannya menurut keterangan Al-Quran dan Sunnah atau pemahaman para salafus soleh bagi sesuatu kalimah yang terdapat di dalam nas-nas syarak adalah merupakan cara perjalanan ahlul bidaah sepanjang zaman.

Di dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pemahaman sesuatu kalimah syarak mestilah dicari terlebih dahulu di dalam penjelasan Allah s.w.t. dan rasulNya dan para salafus soleh. Apabila telah tidak didapati barulah pegertiannya itu disandarkan kepada perbahasan lughawi. Di dalam hal ini pengertian assabiyyah telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri di dalam hadith baginda yang bermaksud:

"Assabiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."

Di dalam pengertian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini, baginda telah mengikat pengertian assabiyyah kepada membantu di atas dasar kezaliman. Penjelasan Rasulullah s.a.w. yang amat bijaksana ini adalah menepati dengan tabiat kesungguhan Rasulullah s.a.w.. Baginda telah menjelaskan pengertian assabiyyah itu dengan cara yang mendidik manusia kepada perubahan di dalam hidupnya kerana Islam tidak memandang sebarang faedah kepada perkataan yang tidak membawa kepada taat dan amal. Jawapan baginda yang bersifat tarbawi dan sentiasa mempunyai aspek amali yang mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t. adalah menjadi didikan Allah s.w.t. kepada baginda. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Baqarah ayat 189 yang berbunyi:

Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) Haji."

Manakala mengertikan assabiyyah dengan membahaskan maksud bahasanya adalah merupakan penyelewengan daripada pentakrifan Rasulullah s.a.w. dan mengandungi sejenis kegelapan dan kebodohan. Marilah kita bertanya adakah Rasulullah s.a.w. hendak mengajarkan kepada umatnya dari hadith tersebut mengenai kabilah arab? Tidak, tetapi Rasulullah s.a.w. ingin mengajarkan kepada umat baginda mengenai kewajipan meninggalkan kezaliman dan bahawa risalah Islam yang dibawa oleh baginda adalah memerangi kezaliman di dalam segala bentuknya, samada berbentuk fahaman, ajaran, syiar, budaya mahupun ikatan. Rasulullah s.a.w. ingin membentuk umat baginda sebagai umat yang bersih daripada kezaliman dan berjihad membebaskan manusia di dunia ini daripada kezaliman sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah An-Nisaa' ayat 75 yang berbunyi:

Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah s.w.t. dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau. Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah s.w.t. dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.

Apabila kita telah memahami bahawa assabiyyah itu ialah menolong bangsanya di atas dasar kezaliman maka pada ketika itu adalah jelas kepada kita bahawa fahaman nasionalisme sekular yang mempertahankan undang-undang sekular dan menolak undang-undang Allah s.w.t. yang diliputi oleh keadilan dari segenap sudut dan sisinya itu adalah fahaman yang benar-benar tergolong di dalam maksud hadith tersebut. Bahkan perlulah dinyatakan bahawa kezaliman yang menjadi tabiat fahaman nasionalisme moden itu adalah beratus kali ganda daripada kezaliman yang berlaku di dalam kabilah-kabilah Arab.

Kezaliman kabilah-kabilah Arab itu adalah berlaku kerana terlalu melebihkan keturunan mereka di dalam segala perkara, manakala kezaliman nasionalisme moden adalah kerana menyekutukan Allah s.w.t. S.W.T. di dalam salah satu daripada sifat UluhiyyahNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-An'am ayat 115-116 yang berbunyi:

Telah sempurna kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimatNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Firman Allah s.w.t. S.W.T. lagi di dalam Surah Al-Maidah ayat 45:

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t., maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.

Firmah Allah s.w.t. di dalam Surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:

Sesungguhnya mempersekutukan (Allah s.w.t. ) adalah benar-benar kezaliman yang besar.

Seterusnya bagi menolak syubahat yang kedua kita perlulah memahami terlebih dahulu kaedah penting yang dipakai oleh para ulamak Islam bermaksud "Sesuatu hukum itu adalah digantungkan kepada kefahaman". Memahami kaedah ini adalah amat perlu untuk melahirkan hukum yang tepat kepada mereka yang kelihatan mengamalkan sesuatu bidaah yang bercanggah dengan syariat Islam. Ia juga adalah amat penting untuk menjadi asas bagi mengetahui fahaman sebenar ulamak-ulamak Islam yang kelihatan memakai syiar-syiar golongan kuffar. Bertolak dari kaedah inilah Al-Allamah Syeikh Said Hawwa telah berkata:

"Bahawa setiap syiar yang memalingkan manusia dari mengambil jalan Allah s.w.t. S.W.T. sebagai maksudnya dan sembahannya adalah syirik. Dengan ingatan bahawa hukum ke atas seseorang dengan kekufuran atau syirik akbar adalah memerlukan kepada fatwa yang mendalam dari ahli fatwa kerana ihtimal bahawa di sana terdapatnya niat-niat yang tersembunyi yang mungkin membawa kepada peringanan hukum ke atas pengamalnya, seumpama ia menanggung lafaz-lafaz tersebut di dalam masalah ini di atas wajah yang menepati iktiqad yang betul."

Dengan kefahaman ini adalah jelas bahawa menyamakan perjuangan nasionalisme Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Haji Agoes Salim dengan perjuangan nasionalisme parti pemerintah adalah tidak benar kerana nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh kedua-dua ulamak tersebut tidak melibatkan penolakan terhadap hukum Allah s.w.t. S.W.T.. Ia adalah suatu penyamaan yang terburu-buru dan sebagai fitnah terhadap ulamak-ulamak Islam yang wajib ditolak. Semoga dengan penjelasan terhadap syubahat-syubahat ini akan dapat membuka kepada kita hakikat kesesatan nasionalisme itu tanpa sebarang keraguan lagi menurut timbangan syariat Islam. WAllahu A'lam wa Huwa yahdis Sabil.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Insan ayat 29-30 yang berbunyi:

Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan, maka barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya. Dan kamu tidak menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali bila dikehendaki Allah s.w.t. . Sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

PENUTUP

Kalau sebelum ini di IPIS kita bising dengan isu assobiyyah harapannya selepas ini isu assabiyyah tidak timbul lagi kerana tiada dari kalangan kita yang ingin menolong membuat kezaliman sebgaimana sabda Nabi s.a.w "Assabiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."

Jika timbul isu kepimpinan didominasi oleh pelajar-pelajar dari sesebuah negeri itu hanyalah kebetulan (mungkin jumlah mereka memang terlalu ramai). Isu dari negeri mana seseorang pemimpin itu datang bukan isu yang penting... Yang penting dan utama pemimpin itu seorang yang bertakwa dan mempunyai fikrah Islam yang jelas. (orang yang paling mulia dikalangan kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu.

Jika isu loghat menjadi pemecah.. itu adala suatu yang tidak patut.. sepatutnya kita meraikan loghat dan budaya di kalangan kita kerana tidak semua mampu untuk berbahasa seperti kita yang dari kecil diajar berbahasa standard dan komunikasi harian menggunakan bahasa standard (tidak seperti sesetengah orang di Pantai Timur yang jauh beratus kilometer dari tempat kita.. mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.. jika mereka berloghat sesame mereka, bukankah itu suatu yang fitrah?...

Bila isu pergaulan sosial timbul.. kitalah yang sepatutnya turut bersama mendekati mereka.. dan mereka harus menerima kita.. bukan kita membuang mereka.. Fitrah manusia yang datang ke tempat asing akan mencari mereka yang paling rapat dengan kehidupan mereka yang sebelumnya (samalah jika kita melanjutkan pelajaran ke luar Negara, semestinya kita mencari orang Malaysia untuk membantu urusan kita dan menjadi teman kita sebelum kita mengenali orang lain). Dengan kemampuan berbahasa standard yang lemah adakalanya mereka merasa malu (takut diketawakan) dan sukar untuk berkomunikasi dengan kita (apalagi menjadi teman rapat).. jadi sama-samalah kita saling membantu dan meraikan perbezaan masing-masing. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat:

13. Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Sesungguhnya tidak ada jalan untuk melepaskan umat Islam di zaman ini seluruhnya daripada kesesatan beramal dengan fahaman nasionalisme selain daripada berusaha mendedahkan kepada umat Islam hakikat kesesatan fahaman kebangsaan atau nasionalisme itu sebagaimana juga segala ideologi kebendaan yang lain secara menyeluruh dan merata melalui kuliah-kuliah yang disampaikan di masjid-masjid, surau-surau, pondok-pondok dan segala saluran pengajian agama di tanah air. Risalah ini hanyalah suatu pengenalan yang amat ringkas tetapi sebagai amaran yang amat keras kepada Muslimin mengenai ancaman bahaya fahaman nasionalisme kepada kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Semoga Allah s.w.t. menjadikan risalah ini bermanfaat kepada penulis dan sekelian Muslimin. Amin.

Rujukan:

Al-Quran
Abu Abdul Halim
Kaherah, Mesir.

Ustaz Zulkifli Bin Hj.Ismail
Kaherah, Mesir.

http://www.pmram.org/manhal

1 comments:

Anonymous said...

Salam,

Setelah saya membaca pendapat saudara ada yang saya setuju dan ada juga tidak.

1. Apa hujah pengukuh & bukti sdr menyatakan fahaman nasionalisme itu suatu "ikatan yg berbentuk sekular" sehinggakan sdr. tidak teragak-agak mendakwa "kezaliman nasionalisme moden adalah kerana menyekutukan Allah s.w.t. S.W.T. di dalam salah satu daripada sifat UluhiyyahNya" ?

Di dalam maksud Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia America yg sdr kutip pun TIDAK menyebut semangat nasionalisme itu sehingga mengatasi SISTEM KEPERCAYAAN iaitu agama. hanya disebut ".... are placed above individual or global interest."

Sdr,

Bagi saya fahaman nasionalisme dalam konteks negara kita yg berbilang kaum ini amat penting. Ini tidaklah bermakna kepentingan agama Islam itu diketepikan. Malah, bukankah Nabi Muhammad kita pun mengutamakan aspek kenegaraan dan pembinaan negara bangsa?

Kita mesti berfikiran terbuka. Usah disempitkan pengertian @ konsep Islam. Fahaman NASIONALISME merujuk kpd amalan yang sama. Ini bermakna demi memenuhi ciri nasionalisme di negara ini maka BAHASA MELAYU sebagai BAHASA KEBANGSAAN yang mesti difahami & digunakan oleh semua lapisan kaum.

Dalam sistem pendidikan pula, hanya sekolah kebangsaan bertepatan dgn hasrat memupuk perpaduan kaum di negara ini. Sekolah Cina dan Sek Tamil secara automatik hapus.

Bagi orang Melayu pula mereka patut BELAJAR BERBUDI BAHASA dengan amalkan ETIKA BERBAHASA MELAYU YG STANDARD. Tiada alasan utk org Melayu Pantai Timur misalnya nak guna bahasa loghat berlebih-lebihan dgn alasan "tak pe."

Tapi dalam konteks ini sdr. nampak bias krn menyebelahi budaya kebobrokan atau kepincangan bahasa. Ini semestinya bercanggah dgn ciri nasionalisme! Bukankah Islam juga menasihatkan kita berbahasa dalam bahasa yg mudah org lain fahami supaya tidak menimbulkan salah faham dan perpecahan?


2. Petikan berikut juga adalah dirujuk:

"Dengan kefahaman ini adalah jelas bahawa menyamakan perjuangan nasionalisme Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Haji Agoes Salim dengan perjuangan nasionalisme parti pemerintah adalah tidak benar kerana nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh kedua-dua ulamak tersebut tidak melibatkan penolakan terhadap hukum Allah s.w.t. S.W.T.Ia adalah suatu penyamaan yang terburu-buru dan sebagai fitnah terhadap ulamak-ulamak Islam yang wajib ditolak.

Saya mengakui perjuangan murni Burhanuddin Helmi dan Hj. Agoes Salim. Namun, drpd kenyataan tsebut, adakah sdr. wajar menghukum bahawa fahaman nasionalisme kini (jika ada pun) ialah suatu "penolakan terhadap hukum Allah s.w.t."?

Sdr usah begitu cepat menganggap fahaman kebangsaan atau nasionalisme itu suatu yg sesat. Ia juga tidak sama dengan segala ideologi kebendaan yang lain spt mana yg sdr. sangkakan.

Sebenarnya, sikap kita yg begitu tertutup pemikirannya terhadap hal-hal kenegaraan disebabkan kita tidak ada asas pun dalam ILMU SIASAH adalah 1 ANCAMAN PALING BAHAYA!

Umat Islam mesti bebaskan diri daripada mengeksploitasikan agama demi menutup kedangkalan sendiri yg tidak memahami aspek-aspek politik, negara bangsa dan budaya.

Barulah kita memperoleh kejahteraan di dunia dan di akhirat.


* Saya harap sdr dapat menjawab segera kemusykilan saya di atas serta dimohon jasa baik sdr. mengirimkannya ke laz_ardi81@hotmail.com dan gigidnl@yahoo.com.



ALLAHUAKBAR!!!

Terima kasih.

Dari,

M.ARIF A.


Wassalam.