WALIMATUL URUS

Kebenaran siaran langsung program Sensasi dibatal

| Sunday, February 25, 2007

Kebenaran siaran langsung program Sensasi dibatal


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengumumkan sudah menarik balik kelulusan yang diberikan untuk siaran langsung program Sensasi, yang disiarkan di TV3.

Ketua Komunikasi Korporat SKMM, Adelina Iskandar, berkata surat penarikan balik itu dihantar kepada TV3 Jumaat minggu lalu, yang meminta siaran langsung Sensasi dihentikan segera bagi mengelak isu sensitif berulang.

Adelina berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan menarik balik lesen siaran langsung bagi Sensasi itu kerana tidak mahu lagi isu sensitif yang dipaparkan dalam program itu berulang.

“Lesen siaran langsung bagi rancangan Sensasi yang disiarkan TV3 sebenarnya kami tarik balik kerana SKMM amat memandang berat kegiatan pemegang lesen penyiaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Adelina berkata, SKMM mendapati TV3 tidak mengambil langkah bersesuaian untuk menyunting atau mengawal sebarang kandungan yang tidak sesuai untuk disiarkan, sekali gus ini boleh menyentuh sensitiviti Islam.

Katanya, penarikan balik itu dibuat berikutan kenyataan pelakon Rosnah Mat Aris pada 30 Januari lalu dalam program itu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan ia diambil selepas SKMM mengkaji terperinci perkara berkenaan.

Sehubungan itu katanya, Walaupun TV3 dibenarkan menyiarkan rancangan itu secara rakaman tetapi mereka harus mematuhi prosedur yang sudah ditetapkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kenyataan Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan yang menyebut stesen berkenaan sendiri mengambil inisiatif menghentikan program Sensasi dalam bentuk siaran langsung.

Katanya, rancangan Sensasi yang biasanya disiarkan setiap Selasa jam 11 malam tidak akan lagi bersiaran secara langsung bermula minggu ini selepas perbincangan dalaman di pihak pengurusan stesen itu. Kata Azhar, ia bukan atas arahan mana-mana pihak tetapi inisiatif itu diambil selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk meneliti kepincangan dari episod pertama hingga kelapan.

Bagaimanapun, Azhar ketika dihubungi semalam, enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan SKMM kerana mendakwa surat penarikan balik daripada suruhanjaya itu tidak dihantar kepadanya.

“Saya tidak boleh beri sebarang komen kerana tidak tahu menahu mengenai surat itu. Tanya pihak SKMM kepada siapa surat itu dihantar,” katanya.

1 comments:

Anonymous said...

memang patut pun program bangang macam ni dihentikan.. bukan sahaja merosakkan akhlak bahkan memunahkan aqidah..