WALIMATUL URUS

Hafiz.. Ooo... Hafiz Akhirnya Engkau Tinggalkan Kami Dik..

| Thursday, November 13, 2008
Gambar hiasan

Ketika itu saya sedang menunggu pengawas peperiksaan mengutip kertas soalan dan jawapan untuk subjek Pergerakan Asas dan Pendidikan Pergerakan. Alhamdulillah hanya tinggal satu subjek sahaja lagi untuk semester. Jam di dinding menunjukkan puku 11.15 minit pagi.

Kala itu saya mendengar satu makluman sedang diumumkan melalui radio maktab. Entah mengapa hati saya tergerak untuk menumpukan telinga saya mendengar setiap butir pengumuman tersebut. "Untuk makluman warga Institut Perguruan Islam, salah seorang pelajar kita, Saudara Muhammad Hafiz b. Othman telah pun meninggal dunia pada jam 10.50 pagi tadi. Harap maklum.." Innalillahi wainna ilahi raji'uun.. Ya Allah Hafiz.. Saya terkedu.. memandang sahabat-sahabat yang lain yang seolah terpinga-pinga kerana tidak begitu jelas dengan pengumuman sebentar tadi..

************************************************************************************

Pada hari Jumaat lepas, lebih kurang jam 5.51 petang saya mendapat mesej daripada bapa Hafiz.. "Epit dah siap dah. Tunggu nak keluar je.. Doktor cakap Alhamdulillah ok. Keadaan stabil.." Dari mesej ini dapat saya rasakan kegembiraan yang berbunga di hati Cikgu Othman, bapa Hafiz. Bapa mana yang tidak gembira apabila diberitakan keadaan anak yang separa koma sebelum ini bertambah baik. Saya sebagai seorang abang senior tumpang gembira di atas perkembangan tersebut.


Gambar hiasan

Malamnya pihak Biro Dakwah selepas bermesyuarat membincangkan beberapa perkara penting sebelum kami pulang bercuti, saya dengan rasa tanggungjawab melancarkan satu tabung bagi mengutip sumbangan untuk meringankan beban keluarga Muhammad Hafiz. Saya anggap ini merupakan satu tanggungjawab sosial Biro Dakwah kepada warga IPIS yang ditimpa masalah dan sebagai teladan kepada warga IPIS yang lain.

Dalam masa yang sama kami dikejutkan dengan kematian Bapa kepada adinda Firdaus Bebet PPISMP sem 3 (B.Arab) dan saya bersama lebih kurang 20 orang sahabat termasuk JPP bergegas ke Melaka.

Gambar Hiasan

Pada pagi Ahad saya dikhabarkan kedatangan Cikgu Othmanbersama anaknya mengambil barang-barang kepunyaan Hafiz di asrama. Saya sempat membantu apa-apa yang termampu serta sempat bertanya khabar tentang keadaan Hafiz. Namun tanpa saya sedari saya telah menyentuh perasaan hiba bapa Hafiz. Beliau bercerita dalam keadaan teresak dan menyapu air mata.. "Hafiz dah semakin stabil... dia sudah boleh mengejip-ngejipkan matanya.. dan adakala menggerakkan tangannya". "Alhamdulillah da semakin baik.. Insya Allah tak lama lagi baik la tu.. Cuma kita sekarang ni perlu banyakkan doa dan solat hajat.. memohon kepada Tuhan. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini Pak Cik.. Allah mahukan kebaikan pada Hafiz Pak Cik.." saya membalas meredakan perasaan hiba seorang bapa.. "Pak Cik minta maaf.. Pak cik tak boleh tahan perasaan Pak Cik.. Kalau bercerita pasal Hafiz Pak Cik mudah tersentuh..." Luah Cikgu Othman sambil mengelap kelopak mata tuanya.. "Kalau ada apa-apa maklumkanlah.. Pak Cik mungkin tak datang sini lagi.." Cikgu Othman menghabiskan ayat terakhirnya kepada kami..

*************************************************************************************

Saya sebenarnya sudah lama berkira-kira untuk melawat Hafiz untuk kali kedua bersama rakan-rakan. Namun dengan kesibukan pelbagai urusan ditambah dengan minggu peperiksaan, saya terpaksa menangguhkan lawatan ke Hospital Besar Kuantan pada hari semalam. Namun Allah mentakdirkan segalanya berakhir begitu.. Maafkan abang dik..

Terlalu awal rasanya Hafiz pergi, dalam umur 20 tahun Hafiz meninggalkan dunia pulang menemui Allah.. Hafiz watak seorang remaja yang tenang.. Yang disenangi ramai.. Yang dikasihi rakan dan taulan serta guru.. Namun Allah lebih menyayangimu dik..

Belumpun kita sempat menjalinkan hubungan akrab, hanya sekadar bertegur sapa, hanya menyambut salam seusai solat.. hanya membalas senyum dari jauh.. Belum sempat abang menggali hati budimu.. belum sempat kita bertampar mesra meluah rasa.. Belum sempat abang menumpah kasih menebar sayang padamu dik..

Ya Allah betapa bersalahnya aku membiarkan seorang adik.. teman.. sahabat.. terbiar membawa rasa hati.. menyendiri.. kamarmu yang tak pernah abang singgahi.. menabur bicara senda tanda cinta ukhuwwah... Apalagi memanggil mesra untuk berjalan menuju medan juang..

Abang berdosa dik.. Abang hanya pandai berbicara menyata kata yang kerap tidak dikota.. Maafkan abang dik.. Ampunkan seorang da'ie yang berdosa pada Tuhannya.. berbahagialah dikau di alam sana berteman bidadari syurga.. berpayung di bawah Rahmat yang Esa...

Gambar hiasan

Pinta abang.. kau pimpinlah tangan ayah dan ibumu mampir ke syurga.. Kerana cupakan air mata mereka tidakmungkin mampu kau balasi melainkan dengan amalmu pada Yang Esa....

Ampunkan abangmu ini wahai adik yang kurindui..


Tuhan telah menentukan segalanya
Kerana Dia kita bersaudara
Perantau hidup tanpa keluarga tercinta
Hanya teman, tempat meluahkan rasa
Mesranya hati bagai kembang puspa di taman
Harumnya pula semerbak syurga Tuhan

Semalam kita sama berjuang dan bekerja
Menunaikan janji kita kepada Tuhan
Mencari mutiara ilmu di Bumi Anbiya’
Pulang nanti ingin berbakti pada semua
Oh bagaikan terasa hari itu selamanya
Berganding tangan menyusur kehidupan

Namun aku hanya insan yang tak punya apa
Dialah yang menentukan segalanya
Hari ini tanpa ada yang mampu menduga
Kau dijemput Tuhan pulang ke pangkuan
Dunia dalam pilu menitiskan air mata
Mengiringi duka sebuah kematian…

“Ya Allah masih segar wajah mereka terbayang di mata
Masih hangat suara lembutnya di sisipan telinga
Apakah benar ini semua bukan mimpi
Gagahkah aku untuk menyambut sebuah realiti
Tuhan Pengasih
Terangilah pusara mereka dengan cahaya-Mu
Meriahkanlah dunia mereka dengan kunjungan rahmat-mu
Sampaikanlah doa kami kepada mereka
Amin ya Rabbal ‘Alamin”

Kepadamu kuhadiahkan doa
Moga tenang di dalam belaian Tuhan
Pada Allah kupohonkan kesabaran
Moga berkekalan kau dalam ingatan
Kupercaya kau kan bahagia di alam sana
Suatu hari nanti kita kan bersama

Kepada teman dan keluarga semua
Pasrahlah kepada Allah Tuhan yang Esa
Walau seagung mana kasih dan sayang semua
Pastinya Dia lebih menyayangi mereka
Dari-Nya kita datang berkelana di dunia
Kepada-Nya jua kita kan kembali

Lagu, Lirik dan Nyanyian: Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus, Jordan
Album: Dunia Ini, 1996

0 comments: