WALIMATUL URUS

Muhammad Hafiz: Moga Allah Tabahkan Jiwamu Dik..

| Friday, October 24, 2008
"Assalamualaikum ustaz, selepas keluar dari HKL kami terus pulang ke rumah. Hafiz sudah semakin sihat dan macam-macam nak buat sendiri. Kami tetap awasi dia. Kemudian dia mengadu pening, saya gosokkan kepalanya hingga tertidur dan saya pun tertidur di depan tv ruang tamu.Tiba-tiba dia dah jatuh. Jahitan terbuka. Darah banyak keluar. Terus bawa ke Hospital Besar Kuantan. Sekarang di Hospital Besar Kuantan. Doktor nak keluarkan saki baki darah beku. Buat pembedahan kecil. Saya sangat ralat dengankeuaian ini. Sekelip mata sahaja terlepas pandang. Saya rasa dah tak kuat lagi nak hadapinya. Tolonglah doakan keselamatan, kesihatan, untuk Hafiz. Ramai kawan-kawan termasuk pemimpin pelajar dan pensyarah yang bertanya khabar tapi saya tidak bercakap benar kerana saya tiada kekuatan nak cakapkan. Jadi saya minta tolong ustaz terangkankepada mereka. Saya minta maaf. Tiba di rumah 6.30 petang 30 september, masuk Hospital Besar Kuantan 11 malam sama. Dia dah sedar tapi tak bercakap lagi. Terima kasihbanyak atas keprihatinanwarga IPIS kepada anak saya. Semoga Allah merahmati..."

Begitulah sms yang dihantar oleh ibu kepada Hafiz kepada Ustaz Ismail Che Ku yang kemudiannya dipanjangkan kepada saya.

Sebak hati dan perasaan saya tatkala membaca pesanan ringkas tersebut. Tidak dapat saya gambarkan perasaan si ibu tatkala menaip perkataan demi perkataan pesanan ringkas tersebut.

Senyum tabah seorang ibu..

Saya mendapat khabar berita kemalangan yang menimpa Hafiz sehari selepas kejadian. Namun disebabkan kekangan masa pada ketika menyebabkan saya terhalang untuk menziarahi Hafiz di HKL. Apabila saya berkira-kira hendak menziarahi Hafiz sebaik usainya cuti Idulfitri saya dikhabarkan dengan berita sedih dan mengejutkan ini. Hafiz ditahan semula di Hospital Besar Kuantan.

Hafiz menurut cerita yang saya dengar dari mulut ke mulut dalam perjalanan pulang ke IPIS dari KLIA menghantar sahabatnya yang akan berangkat menyambung pengajian. Tetapi Allah mengujinya dengan satu kemalangan motosikal di jalan berhampiran Dengkil. Tanpa siapa mengetahui punca dan sebab-sebabnya. Tiada kesan dilanggar pada motosikalnya. Kes kemalangan Hafiz terus menjadi misteri hatta pihak polis sendiri gagal membuat kesimpulan punca kemalangan tersebut.

Pada hari Ahad yang lepas saya telah menyertai rombongan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) menziarahi Hafiz di Hospital Besar Kuantan. Sebagai memenuhi tuntutan Rasulullah (SAW) yang berbunyi:

“Barang siapa menziarahi kerana Allah semata-mata; maka diseru kepadanya; bahagialah anda dan bahagialah perjalanan anda, anda telah menempah tempat di syurga...”

Menziarahi mereka yang sakit adalah satu tanggungjawab setiap muslim terhadap saudaranya yang lain. Jika hari ini mereka diuji Allah dengan ujian kesakitan, kita belum tentu diuji dengan ujian yang bagaimana.. Mungkin lebih hebat lagi.. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan setiap kesakitan yang dialami oleh seseorang itu berlalu dengan begitu sahaja melainkan Allah akan menggugurkan dosa-dosanya yang lalu. Dalam erti kata lain ujian kesakitan yang dialami oleh setiap hamba Allah itu sebenarnya merupakan satu proses penyucian diri daripada segala dosa yang lepas..

Kasih seorang bapa..

Kehadiran kami di sambut oleh bapa dan ibu Hafiz yang kelihatan tenang seolah tiada apa yang berlaku.. Namun kata-kata yang terluah dan diselang seli dengan sekaan air mata menceritakan peri pahit dan kesedihan seorang bapa.. " Kalau Pak Cik tahu Hafiz semakin kritikal selepas di bedah kali kedua Isnin yang lepas.. Pak Cik takkan benarkan.. Namun Pak Cik tak tahu apa lagi yang harus dilakukan melainkan menyerahkan tugas merawat kepada pihak hospital dalam masa yang sama berdoa kepada Allah.."

Hafiz... Allah masih sayangkan kamu.. kerana itulah kamu diuji sebegini.. Sekurang-kurangnya kamu telah diuji dan sedang mengharungi yang maha hebat.. Tetapi kami belum diuji Allah.. Entah bagaimana ujian yang akan kami hadapi nanti.. Mampukah kami mengharunginya.. Sedang melihat keadaan kamu sudah bisa menghamburkan air mata kami.. Moga Allah merahmatimu dik..

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
- Surah Al-Ankabut ayat 2-3

4 comments:

Cg. Izwan said...

Turut menompang sedey atas peristiwa yg berlaku pd Saudara Hafiz.Moga Allah memberikan kekuatan kpd Hafiz n famili beliau tuk hadapi hari2 seterusnya.Amin.

Anonymous said...

sedihnya..semoga hafiz sihat semula..wpun tak dapat nk p ziarah..tp doa xputus dari ku...

Anonymous said...

doa untuk adik hafiz..

abumusleh said...

Ameen Y Rabbal 'Alameen..