Harapan dengan tersiarnya berita ini Menteri Pelajaran yang kita cintai dapat membuka mata dan telinga serta bersegera bertindak. Kami sudah muak mendengar sejuta alasan bela diri daripada pihak pentadbir. Atau adakah pihak Kementerian ingin melihat kami berarak mengangkat poster dan kain rentang di Putrajaya?
Surat Pembaca
B.Harian 11/9/2008
INSTITUSI Perguruan Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang adalah antara institut perguruan baru di negara ini. Lokasinya di kawasan bukit di tepi lebuh raya menuju Gua Musang adalah sangat strategik sebagai satu institut melatih bakal pendidik sebelum mereka ditempatkan di seluruh negara.
Dengan bangunan baru dan kemudahan canggih, institut ini diharap dapat menyediakan bakal pendidik terlatih dengan ilmu pendidikan serba lengkap. Namun, di sebalik kehebatan institut itu, ada satu aspek yang mungkin tidak disedari pihak pentadbiran yang boleh memberikan gambaran negatif mengenainya.
Sebagai seorang bapa, saya seperti tidak percaya apabila anak saya yang mengikuti latihan di institut itu menyatakan bahawa masalah utama dialami pelajar di institut itu ialah kesukaran makan pada setiap hujung minggu.
Apabila tiba hujung minggu, pelajar terpaksa keluar ke bandar Kuala Lipis untuk mendapatkan makanan kerana kantin di institut ini tidak dibuka. Bagi pelajar yang tidak sanggup keluar setiap minggu, mereka terpaksa makan roti dan biskut saja.
Hal ini membebankan pelajar dan memberikan kesan kepada pelajar dari segi pembelajaran jika setiap hujung masalah untuk makan menghantui fikiran mereka.
Saya menjangkakan masalah ini tidak akan berlaku apabila tiba bulan Ramadan. Malangnya, keadaan tidak berubah. Sebagai seorang bapa saya berasa sangat sedih apabila mendapat tahu bahawa anak saya makan roti dan biskut untuk berbuka puasa dan bersahur pada hujung minggu.
Saya berharap pihak pentadbiran institut ini dapat mengambil tindakan sewajarnya. Tempoh bagi pelajar mengikuti latihan di sini bukan satu jangka masa pendek. Jika pelajar menghadapi masalah untuk makan pada setiap hujung minggu selama lima tahun, adakah adil bagi kita untuk mengharapkan mereka menjadi guru seperti yang diinginkan?
BAPA PRIHATIN,
Seremban, Negeri Sembilan
0 comments:
Post a Comment