WALIMATUL URUS

‘Jangan salahkan saya Sensasi dihentikan’

| Sunday, February 25, 2007
Oleh: WANDA IDRIS

ROSNAH MAT ARIS.

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Pelakon Rosnah Mat Aris (gambar) hari ini meminta semua pihak tidak menyalahkan beliau berikutan arahan agar program Sensasi TV3 itu dihentikan siarannya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kontroversi yang berlaku adalah berpunca daripada kesilapan kedua-dua belah pihak.

‘‘Kalau tidak ada soalan, tidaklah ada jawapan. Cuma mungkin, baik saya mahupun pihak pengacara telah membuat kenyataan dan mengeluarkan soalan tanpa menyedari sensitiviti.

‘‘Saya berharap janganlah hendaknya kita menyalahkan mana-mana pihak tetapi adalah lebih baik kita jadikan ia sebagai satu pengajaran,’’ kata Rosnah ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai arahan kerajaan agar siaran Sensasi yang disiarkan secara langsung setiap Selasa pada pukul 11 malam di TV3 dihentikan.

Rancangan Sensasi pada 30 Januari lalu, mencetuskan kontroversi apabila aktres itu mengeluarkan kenyataan yang menyentuh secara sensitif usia isteri Rasulullah apabila diajukan pertanyaan oleh pengacaranya mengenai kecenderungannya bercinta dengan lelaki muda yang tidak sepadan usianya.

Bagaimanapun, Rosnah berharap, rancangan Sensasi yang diterbitkan oleh Jamil Hassan dan diacarakan oleh Awaluddin Shaari dan Intan Suraya itu tidak dihentikan kerana ia mempunyai ramai peminat dan mencatat rating yang tinggi.

Malah, beliau menyambut baik saranan pihak suruhanjaya supaya rancangan itu disiarkan secara rakaman untuk mengelakkan kontroversi dan isu-isu sensitif berbangkit.

‘‘Melalui siaran rakaman, pihak penerbitan boleh membuat suntingan dan artis boleh berfikir untuk memberi jawapannya.

‘‘Dengan cara itu ia tidak akan menjatuhkan maruah mana-mana pihak,’’ jelasnya.

Ditanya kemungkinan jika dirinya digam oleh pihak stesen TV berikutan kontroversi yang ditimbulkan, Rosnah berharap semua pihak memaafkan dia.

‘‘Berlakon adalah punca rezeki saya dan saya pula adalah ibu tunggal yang masih mempunyai tanggungan.

‘‘Saya minta janganlah hendaknya cepat menghukum. Saya akui kesilapan saya dan insaf, malah terus membuat kenyataan meminta maaf secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, TV3 dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

1 comments:

Anonymous said...

gam je la orang macam ni... kalau orang Denmark hina nabi dengan karikatur.. tapi dia ni lebih dahsyat.. hina direct.. jangan ke nak minta maaf.. bela diri lagi.. saman je.. tapi kalau zaman khilafah dah lama kena bunuh rasanya nii...

inilah hasil sanjungan kita kepada artis... rasul dihina.. agama dipersenda.. tahniah kepada kepimpinan negara... Negara Islam Hadhari...